Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sebagai antara universiti yang tertua negara, penubuhan fakulti perubatan di universiti yang memiliki kekuatannya sendiri itu adalah tepat pada masanya.
"Penubuhan fakulti itu akan membantu menambah bilangan graduan perubatan, farmasi dan pergigian dalam negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Haluan Siswa Sesi 2009/2010 di UTM, Skudai hari ini.
Beliau berkata, walaupun ketika ini terdapat 10 universiti yang menawarkan pelbagai kursus perubatan, tetapi ia masih tidak dapat menampung keperluan negara dalam bidang tersebut.
Katanya, ketika ini hanya tiga universiti yang mempunyai hospital latihan khusus untuk penuntut perubatan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.
Sementara Naib Canselor UTM, Prof Ir Dr Zaini Ujang, berkata bilangan penuntut baru perempuan di universiti itu pada pengambilan tahun ini melebihi 15 peratus berbanding penuntut lelaki.
Pada pengambilan tahun ini, 1,786 penuntut baru UTM tahun ini adalah perempuan manakala, 1,484 adalah lelaki.
Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut merasmikan Sistem Profil My Tag Secara Talian yang direka khusus untuk memberikan data saintifik tentang seseorang individu atau kumpulan individu daripada aspek personaliti, pemikiran dan minat budaya berdasarkan pada prinsip psokologi serta budaya masyarakat Malaysia.
Sistem yang direka oleh pensyarah UTM sendiri itu adalah siri alat ukur yang menyemak suatu hipotesis dan membuat keputusan tentang tindak balas serta tingkah laku manusia dengan persekitaran.
Sistem yang menjalani penyelidikan sejak 2002 itu dibangunkan oleh tiga penyelidik Sains Kognitif iaitu Prof Dr Mohd Tajudin Ninggal, Syed Mohd Asri Syed Yahya dan Aida Khaizilla Abdul Khairi. - Bernama
berita dari sini
saya saaaaaaaaayang utm.. :D