Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

18 June 2009

Kerajaan tak cadang daftarkan blogger: Rais

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk mendaftarkan blogger dan mereka bebas untuk menyampaikan maklumat dalam Internet tertakluk kepada undang-undang negara demi menjaga keharmonian masyarakat, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Dalam proses menyampaikan mesej, walau apapun yang dikenakan oleh pihak berkuasa, laman web masing-masing bebas untuk mencatat, menyampaikan dan memaklumkan sesuatu.

“Setakat ini perlu dinyatakan kita tidak ada menyenaraikan atau mendaftarkan mana-mana blogger yang beroperasi dalam Internet, dan tiada cadangan untuk berbuat demikian," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang mendakwa kerajaan lebih menumpukan kepada menyekat kebebasan blogger.


Ketika menjawab soalan asal Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran), Rais berkata, media cetak dan elektronik tertakluk kepada pelbagai undang-undang untuk memastikan kandungan yang disiarkan tidak bercorak fitnah atau hasutan yang boleh memporak-perandakan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata, sebagai pemegang lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), kandungan yang disiarkan penyiar swasta dikawal selia dengan rapi kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan perlu mematuhi syarat-syarat khas lesen mengenai kandungan.

Mengikut Seksyen 211 dan 233 AKM 1998 tindakan boleh diambil terhadap individu yang memberi kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau yang jelik.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun, atau kedua-duanya sekali.

"Dari 2005 sehingga kini, sebanyak 24 kes membabitkan kompaun RM380,000 di mana pihak penyiar swasta dikompaun atas pelbagai kesalahan di bawah AKM 1998 termasuk melanggar syarat-syarat lesen penyiaran," katanya.

Beliau berkata, bagi kesalahan penyalahgunaan laman web pula, sebanyak enam kes membabitkan lapan orang tertuduh sudah dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan menghina Sultan perak, di mana seorang mengaku bersalah dan didenda RM10,000.

Katanya, kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menguatkuasakan peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi mengawal selia dan memastikan bahan-bahan media cetak termasuk akhbar tidak mengandungi unsur-unsur yang tidak diingini, yang boleh mengancam keselamatan dan menggugat kestabilan negara.

Rais juga berkata, kerajaan sedang meningkatkan usaha untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar di kawasan pedalaman dan di sekolah. - Bernama



erkk... perlukah daftarkan bloggers? macam tak patut je.. urmm..


No comments:

Post a Comment